SELAMAT HARI LAHIR IBU!

Hjh. Roslah binti Mohd. Yusoff
Assalamualaikum wahai ibuku yang mithali. Izinkan anakmu menulis penghargaan jiwanya terhadapmu sempena HARI ULANGTAHUN KELAHIRANMU. Aku bersyukur kehadrat Ilahi kerana menjadikan dirimu sebagai ibuku.

Dirimu tidak pernah jemu memberikan kata-kata semangat setiap kali anakmu ini kecundang. Berbekalkan kata-kata semangatmu itulah anakmu bangkit semula. Ibu, anakmu ini berbangga kerana punyai ibu seperti dirimu. Anakmu ini menerima setiap kelemahanmu dan anakmu ini gantikan ia dengan kelebihanmu.

Ibu, hanya Allah Taala yang dapat membalas segala jasamu terhadapku. Selamat hari ulangtahun kelahiran ibu. Semoga Allah memberikan ganjaran yang melimpah ruah bagi setiap pengorbananmu terhadapku selama ini wahai ibu.

Ibu, jagalah maruah ayah dan keluarga kita kerana anakmu ini tidak sanggup melihat dirimu diazab api neraka. Jagalah 4 perkara yang menjanjikan syurga buatmu ibuku. Solatmu, puasamu, maruahmu dan suamimu, nescaya dirimu akan tergolong di dalam golongan ahli syurga Allah.

Maafkan segala salah dan silap anakmu ini. Halalkan setiap teguk susumu wahai ibuku. Redhai diriku ini dalam mencari redha Allah Taala. Sesungguhnya keredhaanmu adalah keredhaan Allah bagi diriku. Setinggi-tinggi penghormatan terhadapmu ibu. Syurgaku terletak di telapak kakimu. Semoga ibu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman kepada-Nya. Wallahua'lam...

Nota penulis : Aku amat menyayangimu ibuku. Mungkin selama ini, ianya tidak dapat diungkapkan dengan bibirku. Biarlah tulisan ini menjadi saksi kasih sayangku terhadapmu wahai ibu. Selamat Hari Lahir!

No comments:

The Popular Entry