SYUKUR ANAK SELAMAT

GEORGETOWN - "Syukur...anak saya selamat dan terima kasih kepada semua."

Itu yang diluahkan ibu kepada Wan Aisyah Wan Exzan, kanak-kanak berusia tiga tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 2 Ogos lalu selepas dilarikan seorang lelaki di Selangor.

Ibunya, Arbaiyah Md Zin dilihat tiba di Balai Polis Sungai Nibong di sini kira-kira 4.45 petang bersama seorang lelaki yang dipercayai bekas suaminya.

Mereka yang menaiki kenderaan polis terus bergegas mendapatkan anak perempuan mereka yang ditempatkan sementara di balai polis berkenaan setelah diserahkan oleh seorang wanita yang dipercayai ibu kepada suspek.

Pasangan itu dilihat menangis dan berulang kali mencium anaknya yang dijaga anggota polis wanita balai berkenaan.

Difahamkan, kanak-kanak itu akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan kesihatan.

Usaha pihak media untuk menemu bual Arbaiyah tidak kesampaian apabila dia berlalu pergi selepas keluar dari balai berkenaan kira-kira dua jam kemudian. — Sinar Harian Online

P/s Kepada ibu bapa yang bawa anak pergi membeli-belah untuk persiapan raya tu, berhati-hati dan sentiasa mengawasi anak-anak anda. Jangan leka sangat membeli-belah tu.

No comments:

The Popular Entry