KERETA LAMBANG PATRIOTISME?

Proton pengeluar kereta Malaysia!

MENARIKNYA, banyak negara luar mengaitkan pembelian kereta nasional dengan sifat patriotik rakyat.

Contohnya, setiap tahun Pentadbiran Keselamatan Lebuh Raya Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan senarai peratusan bahagian kenderaan bagi sesebuah kereta yang dibuat di AS di bawah Akta Pelabelan Automobil Amerika.

Senarai ini digunakan sebahagian pembeli untuk menentukan sama ada kereta yang dibeli dibuat menggunakan banyak bahagian buatan AS yang akan membawa masuk kembali wang ke dalam ekonomi negara itu.

Syarikat kereta AS juga banyak menggunakan iklan yang menggambarkan mereka yang membeli kereta jenama AS adalah patriotik.

Dalam masa sama, rakyat Korea Selatan juga dikatakan memilih kereta keluaran negara mereka sebagai pilihan utama kerana nilai patriotisme.

Kajian syarikat penilaian J.D. Power sebelum ini menunjukkan, ramai pengguna di Korea Selatan melihat pembelian kereta import memberi kesan buruk kepada kepentingan negara.

Mereka juga merasakan membeli kereta import akan menyebabkan jurang sosial dan dipandang serong oleh rakan serta hanyalah kemewahan yang tidak diperlukan.

Sikap sama dilihat di Jepun sebelum ini tetapi semakin lama, perluasan pasaran global menyebabkan kereta import mula diterima di semua negara tersebut.

Selain rakyat, kerajaan kebanyakan negara juga bersungguh-sungguh melindungi industri kereta mereka.

Tahun lalu, Perancis meminta Suruhanjaya Eropah mengarahkan Korea Selatan memberi notis awal sebelum mengeksport kereta ke Perancis selepas jualan kereta Korea Selatan meningkat 24 peratus selepas Perjanjian Perdagangan Bebas Korea Selatan-EU.

Kereta Kia dan Hyundai yang murah tetapi berkualiti menjejaskan jenama Perancis seperti PSA Peugeot Citroen. Peugeot sebelum itu mengumumkan akan menutup kilang berdekatan Paris, mengakibatkan kehilangan 8,000 pekerjaan.

Pada 2009 pula, kerajaan AS membelanjakan hampir AS$80 bilion (RM250 bilion) untuk membantu tiga syarikat kereta terbesar negara itu daripada bankrap.

General Motors, Chrysler dan Ford yang meminta bantuan kerajaan pada masa itu berkata, jika syarikat mereka ditutup, tiga juta pekerjaan akan hilang, mengakibatkan masalah besar kepada ekonomi negara itu.

Walaupun ramai melihat kegagalan syarikat kereta AS dan Perancis untuk bersaing adalah punca utama mereka menghadapi masalah, kerajaan negara itu tetap mahu membantu industri automotif mereka.

Adakah bantuan ini atas dasar patriotisme atau atas dasar kebajikan jutaan pekerja dalam industri itu? — Sinar Harian Online

P/s Jom pakat beli kereta nasional lepas ini dalam memberi sokongan kepada Proton dan Perodua.

No comments:

The Popular Entry