Pertama sekali aku nak ucapkan takziah buat bekas majikan aku yang mana bonda beliau telah kembali ke rahmatullah pagi semalam. Aku sedikit sibuk bila terpaksa bergegas ke Binjai kerana Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Daerah Kemaman 1434H, pagi semalam dan harus membantu dalam menguruskan jenazah.
Alhamdulillah, kedua-duanya dapat aku laksanakan tanpa sebarang masalah. Seawal jam 8.00 pagi aku bergegas ke surau untuk mengangkat kelengkapan untuk mandi jenazah dan pengusung keranda beserta keranda sekali.
Selesai tugas tersebut, aku terus ke Binjai bersama 3 lagi rakan seperjuangan untuk tunjuk muka kat sana. Kalau tak nanti orang bising pulak cakap kitorang tak ada waktu pertandingan tersebut berlangsung. Walaubagaimanapun, aku tak sempat tahu JKKK mana yang menang tengahari semalam sebab terpaksa ke Kg. Payoh untuk ambil van jenazah.
Jenazah telah selamat dikebumikan jam 1.30 tengahari, selepas selesai solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kg. Bukit Kuang. Alhamdulillah, aku dapat ikut sekali solat jenazah. Selesai pengurusan jenazah, aku terus bergerak ke Kg. Payoh sekali lagi untuk menghantar van jenazah Penyelaras UMNO Dun Kijal ke tempat asalnya.
Walaupun terasa keletihan, tetapi aku berasa sangat puas hati kerana dapat melaksanakan tanggungjawab aku sebagai hamba Allah dalam masa satu hari ini. Satu, kerja dan satu lagi FARDHU KIFAYAH.
Apa yang aku perasan, rata-rata yang hadir ke masjid tengahari tadi tidak ikut sama menyembahyangkan jenazah. Aku tak pasti kenapa. Mungkin tak tahu bagaimana nak solat jenazah atau sengaja tidak mahu ikut serta.
Jadi, aku nak berkongsi sikit cara-cara untuk solat jenazah secara ringkas. Jika anda sebagai makmum, ikut sahaja langkah-langkah di bawah ini:-
1. Niat
Sahaja aku solat jenazah terhadap mayat ini, 4 takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala.
2. Baca surah Al-Fatihah
3. Selepas takbir kedua, selawat ke atas Rasulullah SAW:-
Allahumma solli ala Saiyidina Muhammad wa'ala ali Saiyidina Muhammad.
4. Selepas takbir ketiga, baca doa seperti di bawah:-
Jenazah lelaki: Allahummaghfirlahu warhamhu
Jenazah perempuan: Allahummaghfirlaha warhamha
5. Setelah takbir keempat, beri salam ke kanan dan kemudiannya ke kiri.
Solat jenazah tidak perlu ruku' atau sujud. Jadi makmum perlu berdiri rapat dengan saf di hadapan. Senang jer kan? Ramai yang tak tahu fardhu kifayah camni kerana asyik mengejar dunia, termasuklah aku sendiri. Wallahua'lam.
Sama-samalah kita mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. In sha Allah, setiap perkara yang kita buat akan beroleh keberkatan dariNya. Amin..
P.s : yang baik itu datang dari Allah dan buruk itu datang dari diri aku sendiri. Jika ada salah dan silap, aku mohon ampun dan maaf. Kalau cara di atas ni salah atau perlukan pembetulan, sila tinggalkan komen anda.